Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan mengadakan run­dingan bersama parti-parti lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan perhimpunan tersebut dapat diadakan.

“UMNO akan berunding termasuk parti yang bukan di dalam komponen Barisan Nasional (BN) serta NGO bagi me­ngadakan perhimpunan solida­riti ini. Perhimpunan ini sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin dalam menghadapi cabaran besar ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang menyatakan secara tegas pendirian Malaysia membantah sekeras-kerasnya tindakan Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaan AS ke bandar tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan AS itu merupakan satu campur tangan secara langsung dan ia dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pergolakan politik di Asia Barat.

“Saya fikir umat Islam tidak akan berdiam diri dan akan berlakunya tindakan protes serta bantahan tetapi saya khuatir mereka yang berada di dalam kumpulan ekstrem akan turut ambil tindakan,” katanya. 

Tambah beliau, isu Palestin ini mendapat perhatian daripada kepemimpinan negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bertemu dengan pimpinan parti Fatah dan beliau sendiri bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah bertemu dengan pimpinan Hamas untuk mendengar pandangan kedua-dua parti tersebut ber­kenaan hal itu. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Pas yang akan meng­adakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan AS esok, Ahmad Zahid berkata, UMNO akan menghantar ahli yang tidak terlibat Perhimpunan Agung UMNO 2017 sebagai tanda sokongan kepada usaha Pas itu.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penegasan Presiden UMNO yang membantah tindakan AS dan Israel itu mewakili pendirian keseluruhan ahli UMNO.

“Keputusan Presiden AS itu bukan sahaja kita tidak setuju malah kita menentangnya. Ia suatu yang mesti disemarakkan umat Melayu Islam.

“Dari dahulu, isu Palestin cukup dekat dengan kelangsungan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan ucapan dasar Presiden telah memberi kesempatan untuk memberi pendirian sejelasnya,” katanya.