Sehubungan itu, Pengerusi Ba­dan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin tindakan segelintir pemimpin UMNO menyertai Pakatan Harapan (PH) akan membersihkan parti dari­pada pemimpin yang hanya mementingkan diri sekali gus memperkukuhkannya semula.

Beliau juga menyifatkan wakil rakyat yang melompat parti itu sebagai ‘tikus’ yang hanya mahu menyelamatkan diri dan meninggalkan perjuangan apabila dalam kesusahan.

“Apabila kapal pecah, bertempiaranlah tikus lari menyelamatkan diri. Situasi seperti ini bagus juga kerana kita tak mahu tikus ini ada lagi dalam UMNO, kita mahu pejuang yang setia.

“Kita mahu orang yang ma­suk UMNO bukan kerana mengejar peluang. Langkah pembersihan dalam UMNO perlu walaupun mungkin hilang ahli. Biar yang tinggal benar-benar atas perjuangan parti. UMNO boleh bangkit semula. Lima tahun bukan tempoh yang lama,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan bekas Menteri Besar berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam PRU-14 baru-baru ini, PH membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala BN memenangi 16 kerusi.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO perlu berubah seiring dengan kehendak rakyat selepas perubahan kepemimpinan ekoran pengunduran bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

“UMNO telah 72 tahun ditubuhkan dan telah banyak lalui cabaran. UMNO mesti berubah, rakyat sudah beri isyarat besar kepada UMNO. Kita pulangkan kepada parti untuk proses pemilihan.

“Terpulang kepada ahli UMNO untuk buat keputusan siapa la­yak memegang jawatan sebagai presiden. Bagaimanapun orang UMNO kena berhati-hati apabila menjalankan mandat parti. Perlu ada tenaga baharu dan nafas baharu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, BN tewas dalam PRU-14 disebabkan beberapa faktor antaranya dasar yang tidak popular seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan kos sara hidup yang membuatkan rakyat menolak parti itu.

Sementara itu, Mohamad ber­kata, BN akan menjadi pembangkang yang berkredibiliti di negeri ini dan tidak akan mengamalkan fitnah serta membuat tohmahan tidak berasas terhadap kerajaan negeri.

Ujarnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar baharu, Aminuddin Harun wajar meneruskan projek Malaysia Vision Valley (MVV) yang melibatkan pembangunan jangka panjang di negeri ini dan mampu mewujudkan 1.3 juta peluang pekerjaan.