MOHD. PUAD ZARKASHI

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Dasar Pendidikan Kebangsaan bertujuan memastikan perpaduan rakyat melalui satu dasar pelajaran di mana Bahasa Melayu sebagai asasnya, sedangkan komponen Bahasa Melayu dan Sejarah dalam UEC itu tidak meme­nuhi standard seperti dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mempertahankan Dasar Pen­didikan Kebangsaan bukan bermakna rasis tetapi agenda nasional untuk rakyat yang berbilang kaum. UMNO mesti konsisten dalam hal ini, jika tidak, integrasi nasional melalui bahasa Melayu menjadi lebih cacamarba.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah banyak bertolak ansur seperti membenarkan kewujudan 60 sekolah menengah persendirian Cina yang mengguna pakai UEC. Sepatutnya cukuplah pendidikan sekolah vernakular ini dibenarkan di peringkat pendidikan rendah sahaja iaitu di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tetapi apabila di peringkat menengah semua pelajar perlu berada dalam satu sistem iaitu sekolah menengah kebangsaan (SMK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Kementerian Pendidikan menegaskan sebarang keputusan yang bakal diambil berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya perlu mengambil kira kepentingan bahasa Me­layu sebagai bahasa kebangsaan dan kemungkinan berlaku sebarang impak daripada keputusan pengiktirafan itu terhadap perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.

Dr. Mohd. Puad menambah, kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mengaitkan pengiktirafan UEC oleh universiti luar negara termasuk universiti swasta di negara ini juga dilihat tidak wajar.

“Universiti-universiti ber­ke­na­an tidak terikat dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan malah majoriti universiti itu hanya meng­utamakan nilai komersial semata-mata.

“Isu pengiktirafan UEC yang terkandung dalam manifesto BN yang lalu juga diungkit oleh Ka Siong sedangkan pengiktirafan itu bersyarat dan hanya dalam bidang tertentu sahaja sebagai contoh kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang dilaksanakan pada 2012 di mana khusus untuk pengambilan guru bahasa Mandarin sahaja,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya UMNO membuat pendirian sendiri demi mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ke hadapan menentang pengiktirafan UEC tersebut.

“Ini bukan perjuangan rasis tetapi adalah untuk mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Mereka yang cuba merosakkan dasar tersebut kerana motif politik sebenarnya adalah rasis oleh itu UMNO perlu ke depan menggabungkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar bahasa dan budayawan menentang pengiktirafan ini,” katanya.