Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, adalah tidak adil sekiranya terdapat segelintir pemimpin mahupun ahli UMNO menuding jari serta mendesak Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatannya, semata-mata kerana beliau masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

“Sedangkan, pengalaman menunjukkan kepada kita, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, sebelum itu adalah Ketua Umum PKR. Beliau bukan sahaja didakwa tetapi duduk dalam penjara pun masih belum melepaskan apa-apa jawatan.

“Yang kedua, jangan dilupakan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa kes sedang berjalan (di mahkamah), beliau dilantik sebagai menteri. Tiada pula tuntutan daripada DAP supaya beliau melepaskan jawatan, malahan akhirnya, kesnya digugurkan sewaktu sedang dibicarakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saarani turut menzahirkan kekesalan terhadap 'power broker' dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri yang telah mengadu domba, menghasut serta menjanjikan `gula-gula’ sehingga mendorong beberapa Ahli Parlimen UMNO termakan hasutan dan akhirnya meninggalkan parti.

Beliau berkata, tindakan mereka itu perlu dihentikan serta-merta dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pula digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin parti yang bertindak sebagai duri dalam daging, mahupun gunting dalam lipatan.