Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana konvensyen yang berlangsung hari ini tidak semata-mata berkisar kepada soal politik serta pilihan raya umum sahaja malah perbincangan turut merangkumi topik yang menyentuh mengenai soal ekonomi, pendidikan, geopolitik dan lain-lain

“Kita dapat lihat hari ini konvensyen ini bukan hanya disertai pemimpin UMNO malah ia turut melibatkan tokoh ekonomi, agama, pendidikan dan jurucakap Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

“Segala perbincangan sepanjang konvensyen ini juga akan dijadikan persediaan dan panduan oleh jurucakap yang akan membahaskan usul sepanjang Perhimpunan Agung UMNO berlangsung nanti,” katanya dalam sidang akhbar sempena Konvensyen Permerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Konvensyen berkenaan dibahagikan kepada empat sesi per­bincangan dan dimulakan de­ngan sesi kluster ekonomi diwakili Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin bertindak sebagai moderator.

Sesi kluster pendidikan pula diwakili Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh manakala Ketua Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai moderator.

Bagi sesi kluster agama ia dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan moderator pula Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Seterusnya sesi kluster politik diwakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun selaku moderator.

Hishammuddin yang juga pe­naung konvensyen berkenaan berkata, perbincangan secara te­liti melibatkan pelbagai isu hari ini juga menjadi tanda bahawa perjuangan UMNO kepada rak­yat tidak bermusim seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis penutup konvensyen berkenaan, Hishammuddin berkata, setiap ahli UMNO perlu mempunyai ‘mentaliti kemena­ngan’ bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Winning mentality ini perlu diteruskan selepas Perhimpunan Agung UMNO kerana hanya itu dapat menentukan survival parti. Perjuangan kita masih relevan kerana kita berjuang demi rakyat bukan individu atau pemimpin,” katanya.