Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun pihaknya tetap menghormati keputusan dibuat Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan.

Katanya, UMNO negeri ba­gai­manapun menyambut baik keputusan Hishammuddin untuk terus kekal berjuang dalam parti, khususnya di peringkat bahagian.

“Kita hormati keputusan beliau yang berasa bertanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Pada masa sama, kita gembira kerana beliau tidak meninggalkan parti tetapi tetap bersama-sama kita di peringkat bahagian,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Rumah Pangsa Seri Alam, di sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan pusat dalam pemilihan parti dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di sini kelmarin.

Menurut Mohamed Khaled, pihaknya yakin keputusan Hi­shammuddin untuk kekal aktif di peringkat bahagian akan dapat membantu proses pemulihan UMNO khususnya di negeri ini.

Sementara itu, dalam program tersebut, seramai 60 golongan asnaf menerima sumbangan berbentuk barang keperluan dan duit raya daripada UMNO Bahagian Pasir Gudang.