Ini selepas, kerajaan didakwa ‘mencabuli’ Perlembagaan ketika menandatangi perjanjian antarabangsa tersebut kerana mengikut Perkara 38 (4), apa-apa perkara yang menyentuh tentang kuasa sultan harus dibawa dan diperkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam hal Statut Rom kerajaan tidak memaklumkan terlebih dahulu perjanjian itu kepada Majlis Raja-Raja, sedangkan kesannya amat besar ke atas raja-raja terutamanya terhadap Agong.

Katanya, satu memorandum berhubung bantahan dan kebimbangan UMNO terhadap Statut Rom akan diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat sebelum disusuli dengan tindakan selanjutnya yang lain.

“Dalam Perlembagaan jelas, jika ada kesalahan yang dilakukan raja-raja Melayu, Perlembagaan memperuntukkan Mahkamah Khas, tetapi dengan menandatangani Statut Rom ini, Mahkamah Khas tidak diperlukan, raja-raja khususnya Agong boleh terus dihadap ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“UMNO Selangor menganggap ini mencabuli kedaulatan kita dan boleh mengundang campur tangan antarabangsa terutamanya yang melibatkan kepentingan kita,” katanya dalam sidang akhbar bagi menyatakan pendirian UMNO negeri berhubung isu tersebut di sini hari ini.

Semalam, pembangkang turut menyerahkan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bagi mendesak kerajaan menarik balik perjanjian berkenaan, selain membenarkan ia dibahaskan di Parlimen.

Persoalan tentang kewajaran kerajaan bertindak menandatangani Statut Rom mula dibangkitkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ismail tetapi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan kerajaan hanya akan menerima perkara baik dari perjanjian tersebut. - UTUSAN ONLINE