Perkara itu merupakan salah satu usul yang dipersetujui hasil Sidang Meja Bulat Ummah: Kesan Kes Indira Gandhi Ke Atas Perundangan anjuran gabu­ngan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu hari ini.

Ketua Sekretariatnya, Amin­uddin Yahaya berkata, pihaknya telah pun membincangkan mengenai perancangan tersebut dengan peguam mereka dan draf permohonan usul sedang di­siapkan untuk diserahkan kepada mahkamah.

“Kami akan memohon untuk membuat semakan semula terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkait dengan kes tersebut dalam masa terdekat. Mungkin pada minggu ini atau minggu depan.

“Kami bukan bermaksud mempersoalkan keputusan mah­­­kamah itu, tetapi berpandangan ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan kerana telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan sidang meja bulat itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Ummah, Ismail Mina Ahmad; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz; Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang dan Majlis Ittihad Ummah, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa penukaran agama tiga anak Indira Gandhi oleh bapa mereka yang memeluk agama Islam hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mengulas lanjut, Aminuddin tidak menolak beberapa usul yang telah dipersetujui terma­suk semakan semula kehakiman itu akan diserahkan untuk perhatian Majlis Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat.

Beliau serta panel yang hadir dalam sidang meja bulat itu juga bersetuju memohon agar Majlis Raja-Raja Melayu dapat menitahkan berkenaan isu itu yang telah menimbulkan polemik sehingga menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat.