Pengerusi Kluster Belia Ummah, Muhammad Faizzudin Mohd. Zai berkata, cadangan itu tidak boleh diterima kerana masih ramai pelajar muslim di negara ini gagal memahami dan mengaplikasikan ilmu agama Islam yang sepatutnya diajar di alam persekolahan.

“Kualiti subjek agama Islam di sekolah masih belum cukup baik dan masih belum mampu untuk mempersiapkan pelajar untuk menjadi seorang muslim yang baik seperti yang sepatutnya.

“Sekiranya dengan keadaan yang penuh kekurangan ini pelajar-pelajar Islam diajar dengan subjek agama lain maka situasi ini akan menambahkan lagi kekeliruan dan salah faham mereka terhadap nilai-nilai Islam yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, cara terbaik untuk mengekalkan perpaduan adalah setiap rakyat berhak mendapat pendidikan agama mereka secara baik dan mendalam.

“Kami percaya sekiranya mereka mampu memahami falsafah dalam menjadi muslim yang baik maka Islam itu sendiri akan mendidik pelajar untuk menghormati agama lain yang ada di dalam negara ini,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE