Naib Canselor UMK Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, Seri Paduka yang mula dilantik sebagai Canselor UMK pada 9 Mei 2011 sering bertitah agar sektor itu diberikan tumpuan dan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat negeri ini.

"Dalam pelbagai majlis yang dihadiri Seri Paduka (di UMK), baginda sering menekankan mengenai kelestarian makanan yang mana kita masih lagi bergantung kepada beberapa makanan asas yang diimport seperti beras, daging dan sayur-sayuran.

"Menjunjung titah Seri Paduka itu, UMK telah menubuhkan sebuah institut dikenali sebagai Institue of Food Security and Sustainable Agriculture bagi memajukan sektor pertanian di negeri ini," katanya ketika ditemui Bernama di Canselori UMK di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Selain itu, Sultan Muhammad V turut melihat aktiviti pelancongan mampu memberi pulangan lumayan kepada Kelantan dan menjunjung titah Seri Paduka, UMK turut mewujudkan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, katanya.

Mortaza berkata, menerusi visi yang dititahkan Sultan Muhammad V, jelas sekali Seri Paduka mahu UMK membantu rakyat yang berpendapatan rendah agar menjadi pemain utama dalam kedua-dua bidang berkenaan.

"Berkenaan pelancongan, Kelantan yang terkenal dengan pelbagai warisan, jika dibangunkan dengan lebih baik, ia akan membawa aliran wang tunai dari luar ke negeri ini," katanya.

Mortaza berkata, sebagai universiti berteraskan keusahawanan, UMK turut memperkenalkan program Social Enterprise for Economic Development (SEED) yang turut mendapat kerjasama dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Di bawah program ini, pelajar akan masuk ke kampung-kampung dan membuat kajian mengenai sumber yang boleh dibangunkan di kawasan berkenaan.

"Contohnya, seorang makcik yang menjual kek di Jeli kini mampu meraih pendapatan sehingga RM8,000 sebulan hasil manfaat yang diterima di bawah program berkenaan," katanya.

Penubuhan UMK diumumkan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Mac 2006 setelah mendapat kelulusan Kabinet pada Jun 2006.

Mortaza berkata, sejak penubuhannya, UMK secara tidak langsung telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini.

Beliau berkata, hasil kajian ke atas 10,000 pelajar yang mengikuti pelbagai kursus di UMK mendapati mereka membelanjakan purata RM500 sebulan seorang atau keseluruhan RM5 juta sebulan, atau RM60 juta setahun.

"Ia turut memberi manfaat secara tidak langsung kepada pengusaha kereta sewa dan inap desa selain turut menaikkan harga hartanah terutama di tiga kampus universiti tersebut di Kota Bharu, Bachok dan Jeli.

"Ia juga menumbuhkan pelbagai aktiviti perniagaan di sekitar kawasan kampus dan menjadikan kawasan yang dahulunya terbengkalai, semakin maju dengan adanya faktor bekalan dan permintaan," katanya.

Mortaza berkata, UMK akan terus memainkan peranan penting selaras dengan titah Sultan Muhammad V yang mahu segala program pembangunan berkaitan UMK, manfaatnya perlulah kembali kepada rakyat di negeri ini.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember tahun lepas.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini. - BERNAMA