Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha melahirkan para penghafaz dan pembaca akan membolehkan masyarakat itu mengambil setiap butir mutiara dan hikmah di dalam al-Quran untuk menghiasi dan mengatur hidup menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Yang kaya menyantuni si miskin, yang alim santuni si jahil, yang kuat santuni si lemah. Elakkan jadi orang kaya yang tamak, kedekut dan sombong dengan kekayaan. Elakkan juga jadi orang alim yang takbur, suka melabel orang lain yang tidak sealiran dengannya.

“Elakkan jadi orang kuat yang bongkak dan merasakan hanya dirinya saja yang kuat. Sifat tamak, kedekut, sombong, takbur dan bongkak merupakan penyakit hati. Penyakit ini perlu dirawat dengan proses pembersihan jiwa menerusi al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini malam tadi.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Aminuddin berkata, umat Islam juga diajak untuk menghayati tema majlis tilawah pada tahun ini iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

Jelasnya, mereka perlu menjauhi sebarang tindakan yang akan memburukkan imej Islam.

“Kita mungkin berbeza dan pelbagai, namun jadikanlah kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Muafakat membawa berkat,” ujarnya.

Seramai 28 peserta yang terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah yang mewakili negeri masing-masing akan menyertai acara tilawah berkenaan.

Bagi menghafaz al-Quran, seramai 84 peserta berusia tujuh hingga 25 tahun akan bersaing dalam tiga kategori yang dipertandingkan. - UTUSAN ONLINE