Kata beliau, rakyat boleh menilai bagaimana Amerika Syarikat (AS) mampu menafikan hak penduduk Palestin apabila menyokong pemindahan ibu negara Israel ke Baitulmuqaddis, dengan mengambil kesempatan terhadap kelemahan penduduk Islam dunia yang tidak bersatu.

Kata beliau, sekiranya umat Islam yang berjumlah hampir dua bilion di seluruh dunia bersatu, sudah pasti tiada pihak mampu memperlekehkan kesucian agama itu termasuk  mencipta istilah Islamophobia yang bertujuan mencemarkan imej agama.

"Jumlah penganut Islam agak ramai tetapi bagaikan buih di lautan, yang akan hilang dipukul ombak. Islam kini diasak teruk di seluruh dunia.

"Di Malaysia, biarpun berbeza pegangan ideologi, dimohon perbezaan itu dinoktahkan dan kita mencari titik persamaan serta bersatu supaya kita dihormati dan dijadikan negara Islam contoh," katanya ketika menghadiri Majlis Muhabbah Rasulullah di Masjid Al-Bukhary Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd. Rafique,  penceramah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid dan Maulana Al Sheikh Afeefuddin Al Jailani.-UTUSAN ONLINE