Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan tugas-tugas Naib Canselor UM, Prof. Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, kejayaan tersebut juga merupakan hasil daripada pelaksanaan pelan strategik yang telah dijalankan pihak universiti.

“Usaha UM dalam mengukuhkan penye­lidikan, pengantara­bangsaan serta pe­­masaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini menghasilkan keputusan yang positif.

“Dalam usaha untuk membina rangkaian penyelidikan dengan rakan kongsi antarabangsa, lebih 50 peratus daripada penerbitan dan penyelidikan dihasilkan UM adalah usahasama antara kakitangan UM dan rakan-rakan antarabangsa UM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain UM, empat universiti lain iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut berada dalam senarai 300 universiti terbaik dunia bagi penilaian 2017/2018 se­perti yang diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds (QS).

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kesemua lima universiti itu kini tersenarai dalam kelompok satu peratus teratas dunia atau 300 terbaik daripada lebih 26,000 universiti yang diiktiraf di seluruh dunia serta tersenarai di dalam QS.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, kejayaan pihaknya berada pada kedudukan 253 terbaik di peringkat dunia merupakan hasil kerjasama semua kakitangan universiti tersebut.

“Kita meletakkan sasaran untuk menjadi antara universiti terbaik dunia di dalam pelan global UTM dan pencapaian ini menjadi kebanggaan semua pihak di UTM.

“Kita akan terus memantapkan bidang penyelidikan, akademik dan sebagainya bagi meneruskan kecemerlangan sebagai antara universiti terbaik dunia,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan tersebut juga membuka peluang kepada UTM menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran mereka.