Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan P. Panchanathan berkata, usaha ini selaras dengan visi kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mahu melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa selain daripada bahasa ibunda, bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

"Bahasa Sepanyol adalah salah satu bahasa yang kami sasarkan untuk dikuasai oleh pelajar-pelajar di Malaysia.

"Saya harap melalui pelancaran pertubuhan ini, lebih ramai guru bahasa Sepanyol dapat dilahirkan, apatah lagi setelah mendapat kerjasama daripada kedutaan negara-negara penutur bahasa Sepanyol yang hadir hari ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Duta Besar Sepanyol ke Malaysia dan Brunei, Carlos Dominguez Diaz, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof. Datuk Rohana Yusof, Presiden APELEM, Dr. Rozita Che Omar dan duta-duta besar negara-negara penutur bahasa Sepanyol seperti Mexico, Colombia dan Cuba. - UTUSAN ONLINE