Perniagaan yang diusahakan oleh Raja Ezatul atau lebih mesra dengan panggilan Eza ini sebenarnya unik dan tidak ada peniagan dalam talian yang menjalankan perniagaan seperti beliau.

Menerusi QReazant Online Book Rental, perkhidmatan sewa buku dalam talian yang beroperasi hampir 11 tahun berjaya menawarkan perkhidmatan tersebut ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan lebih 1,000 buah buku yang disewakan oleh Eza pada setiap bulan.

Menurut Eza, sebagai satu-satunya peniaga sewa buku dalam talian di Malaysia, beliau tidak mempunyai pesaing namun itu tidak bermakna, beliau boleh duduk dalam zon selesa.

"Perniagaan yang dijalankan ini bukan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata, malahan untuk membantu mereka yang tidak mampu membeli sendiri buku atau tidak mempunyai kemudahan untuk mendapatkan buku yang dikehendaki.

PAKEJ sewa yang ditawarkan oleh QReazant. - UTUSAN ONLINE

PAKEJ sewa yang ditawarkan oleh QReazant. - UTUSAN ONLINE

“Apa yang menariknya mengenai perkhidmatan QReazant adalah kami menyewakan buku secara fizikal dan bukannya dalam bentuk e-book atau format PDF. 

“Perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja di laman web rasmi QReazant, malah boleh didapati di kedai dalam talian lain seperti mudah.com dan Shoppee,” katanya yang tampil sebagai tetamu Mornink Blues di Utusan Online, pagi tadi.

Tambah Eza lagi, pelbagai jenis buku atau bahan bacaan yang disewakan termasuk buku berbentuk ilmiah, novel, buku berkaitan perniagaan, bahan-bahan bacaan ringan termasuklah komik.

Penyewa boleh menyewa buku-buku tanpa dihadkan masa pemulangannya. Asalkan buku-buku yang disewa itu tidak hilang, selepas membacanya, boleh dipulangkan semula kepada QReazant.

“QReazant juga menawarkan perkhidmatan kelas menulis di kedai kami yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Selain itu, mereka yang hadir juga berpeluang membaca lebih 10,000 buku yang terdapat di kedai kami,” katanya.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan termasuk kos penghantaran iaitu sewa tiga buku berharga RM52 untuk Sabah dan Sarawak, manakala RM68 untuk Semenanjung Malaysia, sewa 5 buku (RM72 untuk Sabah dan Sarawak, manakala RM88 untuk Semenanjung Malaysia dan sewa tujuh buku (RM 92 untuk Sabah dan Sarawak, manakala RM108 untuk Semenanjung Malaysia).

Orang ramai yang berminat serta ingin mengetahui maklumat lanjut boleh layari laman web qreazant.com, Facebook (qreazant) dan Instagram (qreazant_bookrentalsale) atau hubungi talian 017-3913784. – UTUSAN ONLINE