Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Asyraf di Pulau Sebang itu memperoleh keputusan 9 Mumtaz dalam kesemua mata pelajaran yang diambilnya tahun lalu.

Menurut Siti Nor Umirah, 17, dia amat gembira dan bersyukur dengan kejayaan diperolehinya itu hasil usaha bersungguh-sungguh mendalami ilmu al-Quran sejak kecil.

“Rahsia saya, perlu fokus dalam sesi pembelajaran dan membuat ulang kaji setiap hari selepas solat Tahajjud dan membaca al-Quran. Selain itu saya sentiasa berfikiran positif mengenai semua perkara dan mengelak aura negatif kerana ia boleh menggangu fokus dalam pelajaran.

“Saya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Darul Quran di Terengganu untuk menghafaz serta mendalami ilmu al-Quran hingga ke peringkat tertinggi,” kata anak kedua dari empat beradik ini.

Siti Nor Umirah ditemui pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan Syahadah Ibtida’iah Arabiah (SIA), SMA dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini.

Pada majlis itu, Pengarah JAIM, Md. Azhan Samat mengumumkan keputusan tersebut dan turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd. Rashid Mohd. Sidek dan Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan negeri, Ahmad Hamizi Abu Hassan. - UTUSAN ONLINE