Dalam sesi perkongsian selama satu jam itu, Muhammad Yahya yang juga merupakan Pengasas Pengarah Institut Madina Amerika Syarikat menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Ukhwah Sesama Manusia’.

Katanya, di saat kesusahan, perpaduan antara ummah akan bertambah kuat.

“Semangat persahabatan dan masyarakat antara dua orang atau sekumpulan orang akan bertambah kuat apabila mereka saling menyokong.

“Kepayahan yang dilalui selalu akan menyatukan kita. Ingatlah bahawa apa yang menya­tukan kita adalah lebih besar daripada apa yang memecahkan kita,” katanya.

Mengambil contoh peristiwa bahtera Nabi Nuh, beliau berkata, pegangan agama yang kuat akan membuatkan seseorang cekal dan berani menghadapi apa juga cabaran.

‘‘Apa yang membuatkan Nabi Nuh dan orang-orangnya meneruskan misi mereka? Pegangan yang kuat dan percaya kepada takdir Allah SWT,’’ katanya.

Tambah Muhammad Yahya, sistem demokrasi sesebuah negara perlu dijadikan platform untuk menjamin kemaslahatan ummah.

‘‘Perkataan seperti Islam, demokrasi dan liberal banyak dicabuli orang-orang yang tidak bertanggungjawab termasuk ekstremis.

‘‘Oleh itu, sangat penting untuk rakyat ambil bahagian dalam sistem demokrasi, bersuara dan memberikan pendapat masing-masing,’’ katanya.