Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pertemuan yang diadakan sekali pada setiap bulan itu merupakan usaha pihak berkepentingan untuk membuat keputusan dalam meminda akta sedia ada bagi menyekat perkahwinan bawah umur.

“Dalam undang-undang sedia ada, usia minimum untuk berkahwin bagi lelaki ialah 18 tahun manakala 16 tahun pula bagi perempuan, jika mereka mahu berkahwin, perlu mendapatkan keizinan mahkamah atau kebenaran ketua menteri dan menteri besar.

“Kami mencadangkan pada masa hadapan syarat-syarat ini ditiadakan atau dengan kata lain mengharamkan perkahwinan bawah umur yang ditetapkan oleh undang-undang dan boleh dianggap sebagai satu jenayah jika tidak mematuhi had umur tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Trip Silaturrahim Memikat Merbuk dan Tekukur di Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini hari ini.

Tambah Mujahid, beliau maklum isu berkaitan perkahwinan bawah umur sememangnya perkara sensitif kerana ia melibatkan adat bagi sesetengah masyarakat yang membenarkan perkahwinan bawah umur anak mereka termasuk daripada pandangan agama Islam.

Bagaimanapun katanya, pengharaman perkahwinan tersebut bukan daripada aspek hukum sebaliknya dari segi pentadbiran. - UTUSAN ONLINE