Noor Azlan Ghazali

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, usaha dirintis dengan kerjasama DIU dalam menawarkan pengajian bahasa Melayu itu menjadi landasan tepat bagi menyebar luas penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan warga Bangladesh yang kini membanjiri sektor pekerjaan di Malaysia.

Beliau berkata, perjanjian ditandatangani menjadi medan terbaik bagi mengantarabangsakan UKM, malah selari peranan universiti itu sebagai institusi penting da­lam membela da­sar bahasa kebangsaan.

“UKM amat berbangga dipilih sebagai rakan strategik membangunkan kursus pengajian bahasa Melayu malah dalam masa sama membuka peluang kerjasama le­bih luas mencakupi bidang penyelidikan, pertukaran kakitangan dan menerokai peluang baharu merangkumi isu-isu kemanusiaan dan bencana alam seperti taufan dan masalah banjir yang sering kali didepani oleh Bangladesh,” katanya dalam majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UKM dengan DIU di Kampus Induk UKM, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Pengajian Bahasa DIU, Dr. Binoy Barman.

Menurut Binoy, kepakaran dan kredibiliti dimiliki UKM menjadi ukuran terpenting bagi DIU untuk menjalin kerjasama seterusnya meningkatkan kapasiti institusi yang kini menawarkan lima kursus pengajian.

“Selain bekerjasama dalam mewujudkan pengajian bahasa Melayu, kami tidak menolak kemungkinan untuk merintis ruang dan peluang kerjasama lebih luas mencakupi disiplin ilmu dalam bidang kemanusiaan, alam sekitar dan pengurusan bencana,” katanya.