Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, selain berfungsi sebagai pusat pengumpulan data negara, Nasida juga akan menjadi pusat penyelidikan berkaitan Sains Data dan Analitik Data Raya negara.

“Hasrat untuk menubuhkan Nasida ini muncul ketika berlangsungnya mersyuarat pertama antara Institut Informasi Visual (IVI) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di Cyberjaya pada 28 September lepas kerana bidang Sains Data dan Analitik Data Raya kini merupakan pemacu konsep Revolusi Industri Keempat.

“UKM sebelum ini telah berjaya menubuhkan IVI dengan kerjasama Mampu dan kini kami mula mengorak langkah yang lebih luas dengan rancangan penubuhan Nasida melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) selama tiga tahun antara UKM dan Mampu,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dan Mampu di Bangunan Canselori, UKM di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Mampu, Datuk Dr. Mazlan Yusoff dan Pengarah Institusi Informatik Visual UKM, Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman.

Menurut Noor Aziah, kerjasama antara UKM dan Mampu itu sangat penting dalam memastikan kualiti dan kelestarian penyelidikan yang dijalankan oleh UKM menepati keperluan untuk menghadapi cabaran landskap digital global.

Menurut Mazlan, MoU selama tiga tahun yang ditandatangani ini merupakan simbol komitmen dan kesungguhan Mampu untuk bekerjasama dengan UKM dalam melakukan penyelidikan, penerbitan, perkongsian sumber dan kepakaran termasuk penubuhan Nasida demi kesejahteraan rakyat dan pemodenan negara.

“Teknologi dan Sains Data merupakan suatu keperluan yang mendesak dalam usaha kerajaan untuk menjadikan agenda pendigitalan sebagai platform bagi meningkatkan perkhidmatan awam selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas iaitu mentransformasikan perkhidmatan awam untuk produktiviti.

“Mampu akan membantu UKM menjadi peneraju penubuhan dan pembangunan Nasida, dan dalam masa yang sama beberapa insitusi pengajian tinggi lain juga turut akan dipelawa untuk membantu pengoperasian Nasida,” katanya. - UTUSAN ONLINE