Uji bakat dalam tempoh dua jam semalam dihadiri seramai 60 orang dengan dinilai oleh juri dalam kalangan penggiat teater negeri di samping wakil dari Skop Productions dan stesen televisyen, Al-Hijrah.

Penolong Setiausaha Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Wan Mohd. Firdaus Wan Sembak berkata, inisiatif itu dilakukan bagi mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam drama yang mengangkat sejarah ketamadunan dan kepahlawanan tokoh kebanggaan Terengganu yang sezaman dengan Hang Tuah ketika Kesultanan Melaka berada di kemuncak.

“Kita tidak menetapkan jumlah pelakon yang diperlukan dan watak-watak itu bergantung kepada kesesuaian bakat yang terpilih.

“Untuk 30 episod ini dianggarkan lebih 300 pelakon diperlukan dengan penggambaraan akan dibuat di Terengganu terutama di lokasi-lokasi pelancongan seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Megat Panji Alam turut memaparkan sudut keagamaan, kekayaan dan keunikan pelbagai warisan seni budaya negeri, di samping keindahan alam negeri ini sekali gus mempromosi Terengganu dari sudut pelancongan.

Drama ini mengingatkan umum tentang cebisan kisah pertunangannya dengan Tun Teja, selain ‘perang’ yang tercetus antara dua pahlawan.

Kerajaan negeri akan menaja sebanyak RM1.3 juga dengan nilai pulangan promosi melalui iklan dan penjenamaan di pelbagai saluran dianggarkan RM3.18 juta selain menjadikannya koleksi khazanah negeri. - UTUSAN ONLINE