Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, UiTM terus meningkat kedudukannya apabila laporan itu turut menyenaraikan universiti tersebut antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia.

"Menerusi laporan itu, UiTM mencatatkan lonjakkan 23 tangga untuk menjadi universiti ke-158 terbaik di Asia.

"Antara penunjuk utama yang banyak menunjukkan peningkatan adalah reputasi majikan iaitu sebanyak 55.7 markah berbanding 44.8 pada 2017," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi penunjuk utama yang meningkat ialah kertas penyelidikan setiap ahli akademik dan reputasi akademik.

Beliau menambah, keputusan itu turut menunjukkan tahap kebolehpasaran tinggi graduan UiTM dan kepercayaan pihak industri bahawa graduan universiti ini berkualiti tinggi dengan memenuhi keperluan skil dan pengetahuan masa kini.

Dalam pada itu, Hassan turut berkata, keputusan laporan itu akan menjadi pemangkin kepada universiti dalam usaha untuk terus mendidik pelajar sekaligus menghasilkan graduan bumiputera yang holistik dan seimbang.

"Graduan UiTM juga akan diberi penekanan kepada aspek inovasi dalam keusahawanan supaya mereka juga mampu untuk mencipta kerjaya pada masa depan," katanya.

Asia University Rankings akan membuat penarafan universiti di peringkat serantau dan dunia berdasarkan kepada 10 indikator termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti dan staf yang berkelayakan doktor falsafah (PhD). - BERNAMA