HASSAN SAID
HASSAN SAID

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pencapaian itu diperoleh pihak­nya bagi kategori Reputasi Akademik, Penilaian Majikan dan Sitasi Bagi Setiap Pensyarah dalam kalangan 26,000 universiti di seluruh dunia.

“Pencapaian ini se­kali gus telah melonjak UiTM untuk menjadi salah sebuah universiti yang tergolong dalam 2.8 peratus universiti terbaik di dunia. Keterampilan akademik UiTM menunjukkan peningkatan yang amat ketara selain jaringan hubungan baik universiti ini dengan ahli-ahli akademik di seluruh dunia.

“UiTM juga ketika ini semakin menjadi pilihan utama oleh para akademik yang ingin menjalin kerjasama dalam bidang kepakaran penyelidikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hassan turut berbangga dengan pencapaian UiTM ketika ini yang berjaya menghasilkan graduan bumiputera holistik dan seimbang dengan tuntutan pasaran pekerjaan tempatan serta global termasuk mempunyai kekuatan dari segi nilai-nilai keusahawanan.

Malah katanya, para graduan UiTM sentiasa diberi penekanan kepada inovasi dalam keusahawanan yang seterusnya mampu untuk menjadi pencipta kerjaya pada masa depan.

“Dengan kekuatan lebih 650,000 alumni, UiTM sentiasa komited memperkukuh penglibatan golongan ini bagi menyokong pengukuhan petunjuk Reputasi Akademik melalui sesi percambahan idea bersama peneraju industri dan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam projek akademik, penyelidikan, latihan industri dan pengembangan bakat graduan,” ujarnya.