UiTM sebenarnya setanding, tetapi disebabkan penubuhannya atas misi serta visi yang berbeza dengan universiti tempatan lain, UiTM tidak tersenarai dalam Penarafan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds 2018, (QSWUR 2018).

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, kualiti UiTM harus dinilai secara menyeluruh kerana kewujudan institusi berkenaan antaranya adalah demi memperjuangkan aspek sosial dan pendidikan masyarakat bumiputera.

“QSWUR menilai kepada tiga kriteria antaranya memiliki pelajar antarabangsa. Kriteria itu tiada pada kita kerana UiTM adalah institusi untuk bumiputera dan kita bangga menjadi institusi yang berjaya membangunkan masyarakat bumiputera.

“Satu lagi aspek kepada penilaian tersebut adalah memiliki ramai tenaga pengajar antarabangsa, tetapi kita perlu sedar kos untuk membayar pensyarah itu amat tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis Rewang Ramadan UiTM di sini hari ini.

Semalam Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, lima universiti penyelidikan tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berada dalam senarai 300 terbaik dunia.

Dalam pada itu Hassan berkata, walaupun tidak tersenarai dalam lima terbaik tetapi UiTM berbangga kerana mendapat pengiktirafan bagi Kategori Reputasi Akademik, Penilaian Majikan dan Sitasi Bagi Setiap Pensyarah.

“Kita mendapat respon yang amat baik daripada majikan. Mereka berpuas hati dengan kualiti graduan yang kita lahirkan setiap tahun. Ini satu pengiktirafan yang wajar dibanggakan kerana ini membuktikan kebolehpasaran graduan UiTM,” katanya.