Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima permohonan maaf pelajar berkenaan yang bertindak mengambil gambar selfie di atas pentas ketika menerima skrol diploma dalam Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82, Rabu lalu.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, hukuman tersebut dilaksanakan sebagai pengajaran kepada setiap mahasiswa UiTM supaya menghormati protokol istiadat konvokesyen yang disertai kira-kira 24,000 graduan setiap tahun.

“Pelajar itu hanya perlu meminta maaf secara rasmi dan kita akan lepaskan, itu sahaja. Saya belum mendapat maklumat (jika ada permohonan maaf dibuat).

“Biar ini menjadi pengajaran pada yang lain, kalau kita halalkan perkara ini, akibatnya lagi buruk. Setiap konvokesyen, 24,000 graduan, semua mahu selfie apa akan jadi pada istiadat,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam istiadat tersebut, Muhammad Hasrul Haris yang belajar dalam jurusan fotografi di UiTM Lendu, Melaka tiba-tiba sahaja mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil gambar selfie sebaik sahaja menerima diploma daripada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Arshad Ayub.

Gambar tersebut yang menjadi viral di laman sosial menimbulkan pelbagai reaksi termasuk beberapa pihak yang mempersoalkan kepatuhan mahasiswa berkenaan terhadap protokol yang ditetapkan.

Sementara itu, Muhammad Hasrul Haris seperti dilaporkan media hari ini memohon maaf dan mengakui tindakannya disebabkan teruja selepas berjaya menggenggam segulung diploma.

“Saya minta maaf jika tindakan saya selfie atas pentas ketika istiadat konvokesyen memalukan UiTM, saya tidak mampu mengawal perasaan teruja dan seronok selepas menerima segulung diploma,” katanya.