Rektornya, Zailuddin Ariffin berkata, pada masa ini, universiti itu mempunyai lebih 1,000 batang pokok kelapa jenis meren yang berusia 30 tahun dan matag, berusia 10 tahun, di kawasan seluas 12 hektar.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan menerusi tanaman pokok kelapa itu, boleh menjana pendapatan universiti sehingga RM40,000 setahun.

“Sebelum ini, UiTM Cawangan Perlis pernah menjual santan segar tetapi telah dihentikan sementara dan digantikan dengan jualan kelapa muda.

“Namun kini, kita akan menjalankan semula jualan santan ini dalam masa terdekat dengan dibantu pelajar praktikal,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 universiti di kampusnya di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis itu.

Lebih 500 tetamu hadir pada majlis bertemakan Piala Dunia 2018 itu yang diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan menyepak bola ke dalam gol dan nyanyian.

Menurut Zailuddin, pihaknya merancang untuk menggunakan bekas khas berlogo universiti itu untuk membungkus santan-santan segar.

Katanya, buat permulaan, harga santan segar yang ditawarkan adalah RM9 sekilogram iaitu lebih murah berbanding pasaran luar, RM12 sekilogram.

“Kita sasarkan santan ini dijual kepada orang ramai khususnya penduduk Perlis terlebih dahulu sama ada secara runcit atau pukal.

Tambah beliau, pada masa ini, jualan harumanis masih menjadi penyumbang utama kepada sumber pendapatan hasil pertanian UiTM cawangan negeri ini.

“Pada tahun ini, kita memperoleh pendapatan (jualan harumanis) sebanyak RM270,000 berbanding tahun lepas, RM230,000. Kita menggunakan kenderaan sendiri untuk memasarkan buah-buah ini ke seluruh negara.

“Secara keseluruhan, universiti menjana pendapatan sebanyak RM500,000 setahun bagi hasil ladang,” katanya. - UTUSAN ONLINE