Mohd. Azraai Kassim
MOHD. AZRAAI

Naib Canselor UiTM, Profesor Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, sehubungan itu, bermula tahun ini, pihaknya akan memberikan perhatian lebih khusus dalam mempergiatkan lagi pelbagai usaha untuk menaik taraf dan memperbaiki prasarana sedia ada di seluruh kampusnya.

“Selain peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan, UiTM juga sentiasa giat dalam mencari idea baharu bertujuan menjana pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan yang diperlukan bagi menjalankan projek penambahbaikan tersebut.

“Dalam masa terdekat, terdapat 16 projek utama yang dikenal pasti dan akan dijalankan secepat mungkin di 11 kampus cawangan UiTM di seluruh negara melibatkan anggaran bajet sebanyak RM35 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Mohd. Azraai menambah, antara projek-projek tersebut ialah pembaikan struktur dan naik taraf kolej di Kampus Samarahan, Kampus Permatang Pauh serta UiTM Cawangan Kedah.

Katanya lagi, UiTM juga akan melakukan pembaikan dan naik taraf makmal di Kampus Jengka, pembaikan perpustakaan di Kampus Alor Gajah, pembaikan dan naik taraf bilik dan dewan kuliah Kampus Dungun, pembinaan dan menaik taraf masjid di Kampus Jengka, Kampus Bukit Besi serta Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Nilai.

“Kita juga akan melaksanakan penggantian tangki sedutan di Kampus Kota Kinabalu, UiTM Cawangan Kedah dan UiTM Kampus Cendering. Bagi penggantian lif penumpang akan dilakukan di Kampus Bandaraya Melaka dan Kampus Shah Alam,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Kampus Shah Alam juga akan dilaksana penggantian sistem penyaman udara di samping menyediakan padang bola baharu di Kampus Permatang Pauh. - UTUSAN ONLINE