Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Sa­id berkata, kejohanan tersebut membuktikan pasukan Ecop­ho­ton UiTM berada dalam kelas tersendiri kerana bakal bersaing de­ngan pasukan terbaik dari universiti se­luruh dunia.

“Cabaran yang dihadapi pa­sukan Ecophoton UiTM bu­kan mudah kerana kereta so­lar dibangunkan pasukan ini me­nempuh perjalanan sejauh 3,000 kilometer iaitu dari Darwin di utara hingga ke Adelaide di selatan negara itu.

“Pasukan Ecophoton UiTM akan bersaing dengan pasukan dari negara Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan tuan ru­mah iaitu Australia sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera UiTM di Hotel UiTM, di sini hari ini.

Hassan berkata, pasukan yang terdiri daripada 23 pelajar jurusan kejuruteraan tersebut akan berkongsi kepakaran masing-masing untuk memastikan jentera solar yang dibangunkan mampu mengekalkan momentum dari per­mulaan hingga ke peringkat akhir cabaran.

Katanya, cabaran paling ge­tir bukan sahaja dari aspek tek­nikal dan automotif, malah me­nguji ketahanan kenderaan untuk merentas benua yang terkenal de­ngan muka bumi yang mencabar.

“Kita berharap pasukan kita mampu mengeksploitasi cahaya matahari sebaiknya untuk memastikan tenaga solar yang dijana mampu membawa cabaran hingga ke garisan penamat,” katanya.

Pasukan Ecophoton UiTM diketuai Pengarah Program me­rangkap Pengurus Pasukan, Ungku Muhammad Zulhilmi Ungku Zakaria dan dibantu timbalannya, Mohamad Amirul Farhan Aznan.