ABDULLAH SAID
ABDULLAH

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajarnya, Profesor Datuk Dr. Abdullah Said berkata, langkah sedemikian juga dapat membuka peluang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat sebagai pembuat keputusan dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan di UiTM.

“Dua alasan yang penting, memang sejak 2010 dahulu, kita mempunyai konsep keterangkuman pelajar yang mana salah satu rancangan kita adalah mahu membawa mahasiswa menganggotai pelbagai jawatankuasa dan mesyuarat.

“Di bawah konsep tersebut, kita melaksanakan sedikit demi sedikit penglibatan mahasiswa hingga ke tahap maksimum. Tapi apa yang berlaku, kita melakukannya secara perlahan dan kali ini kita akan lakukan fasa demi fasa,” katanya kepada pemberita di Pusat Sukan UiTM, di sini semalam.

Abdullah menjelaskan, penurunan kuasa tersebut adalah selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk melibatkan mahasiswa dalam jawatankuasa dan mesyuarat serta melibatkan mereka dalam pelbagai jawatankuasa pilihan raya kampus.

Menurutnya, golongan mahasiswa perlu diberi peluang membuat sesuatu keputusan melibatkan kepentingan mereka di UiTM sepanjang pengajian.

“Cadangan untuk mahasiswa terlibat dalam pelbagai jawatankuasa telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Universiti dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

“Kita melakukan penurunan kuasa dalam beberapa fasa. Fasa pertama, penurunan kuasa untuk mereka terlibat dalam jawatankuasa dan mesyuarat berkaitan pengurusan kemudahan pelajar dan kepimpinan pelajar dan fasa kedua, memasukkan mereka dalam pengurusan hal ehwal akademik, hal ehwal alumni, kewangan, pentadbiran dan sumber manusia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, jelas beliau, fasa pertama melibatkan kemudahan pengurusan iaitu penglibatan mahasiswa dalam mesyuarat jawatankuasa peringkat pejabat hal ehwal pelajar, peringkat fakulti dan kampus cawangan.

Beliau menambah, pada peringkat ini, pihaknya telah menyelesaikan di peringkat hal ehwal pelajar yang mana apabila sebanyak 79 jawatankuasa telah dikenal pasti dan daripada jumlah itu, sebanyak 48 jawatankuasa diluluskan LPU untuk disertai oleh mahasiswa. - UTUSAN ONLINE