Jurucakap Pejabat Komunikasi Korporat UIAM memberitahu, setakat ini, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu.

Malah, jelas pejabat komunikasi korporat itu lagi, pihaknya kini sedang sibuk dengan persiapan Istiadat Konvokesyen UIAM ke-34 yang berlangsung selama empat hari bermula esok.

“Kami juga tidak tahu daripada mana sumber berita itu diperoleh kerana ia bukan daripada pihak kami.

“Setakat hari ini, kami tidak dimaklumkan apa-apa dan kami mengetahui desas-desus mengenai perkara itu pun daripada portal-portal berita sahaja,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan portal Malaysiakini berdasarkan sumber bahawa Maszlee dikatakan bersetuju meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM.

Sumber itu dikatakan mengesahkan laporan sebuah portal lain yang melaporkan Maszlee dalam proses melantik pengganti dan mendapatkan persetujuan Perdana Menteri dan perkenan Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah. - UTUSAN ONLINE