Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak
Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak

Rektor UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak berkata, pihak universiti akur dengan segala keputusan yang dimuktamadkan oleh kerajaan selepas isu pelantikan itu dikaji semula.

"Itu hak kerajaan dan kementerian...bukan hak kita (universiti), terpulang kepada mereka untuk mengkaji semula (pelantikan Maszlee) kerana sudah tentu mereka ada asas-asas yang tertentu.

"Kita (universiti) tidak kira siapa yang datang (dilantik sebagai presiden), kami berpegang teguh kepada janji untuk menjadikan universiti sebagai institusi bebas daripada campur tangan politik.

"...dan orang yang datang (presiden yang dilantik) mestilah 'deliver it' dan tidak menafikan semua itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Perubatan Melayu 2018 (ICOMMM 2018)) di Muzium Kesenian Islam Malaysia, hari ini.

Pada Rabu lepas, Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh bagi menggantikan Tan Sri Dr. Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Namun pelantikan itu mencetuskan kontoversi apabila mendapat bantahan dan kritikan ramai yang mempersoalkan kelayakan beliau yang kini memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Maszlee yang dikritik sebagai bercanggah dengan inti pati manifesto Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Maszlee dilaporkan berhasrat untuk menghadap Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan UIAM untuk mendapatkan nasihat berhubung isu pelantikannya.

Mengulas berhubung persidangan itu, Dzulkifli berkata ICOMMM 2018 yang bertemakan 'Warisan untuk Perubatan Baru' berlangsung mulai hari ini dan esok ).

"ICOMMM 2018 adalah persidangan kali kedua selepas persidangan pertama pada 2015, menjadi platform bagi ahli akademik dan penyelidik membincangkan isu berkaitan manuskrip perubatan Melayu dan kepentingannya kepada profesion pendidikan perubatan," katanya.-Bernama
-