Beliau membuat laporan itu di Pondok Polis Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang ini sejurus tiba dari Jakarta.

Laporan pertama dibuat pada kira-kira pukul 4.08 petang ke atas seorang lelaki dikenali sebagai Arunakiri Nathan kerana memfitnah beliau berkaitan agama Hindu.

Jelas Firdaus, kenyataan Arunakiri itu telah mendorong seorang lelaki dikenali sebagai Pandian Sam mengeluarkan komen berunsur ugutan bunuh terhadap beliau.

“Tuduhan dan fitnah berterusan daripada Arunakiri Nathan ini menyebabkan ramai individu membenci dan mengugut saya, dan hasutannya yang berterusan telah menghasut ramai penganut Hindu membenci saya serta melaga-lagakan di antara penganut agama Hindu dan Islam.

“Saya membuat laporan ini kerana merasakan nyawa saya terancam dengan ugutan bunuh yang dilakukan individu bernama Pandian Sam serta meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Arunakiri Nathan kerana terus menerus menghasut dan memfitnah, “ katanya dalam laporan laporan tersebut.

Menurut Firdaus, laporan kedua dibuat pada pukul 4.30 petang ke atas Arunakiri kerana kenyataan lelaki berkenaan berbau hasutan, provokasi dan fitnah serta boleh mendatangkan ancaman ke atas beliau.

“Kenyataan lelaki itu boleh menyebabkan rusuhan agama dan kaum,” katanya dalam laporan itu.

Firdaus yang ditemui selepas membuat laporan itu berkata, ugutan tersebut sama sekali tidak menjejaskan usaha-usaha dakwahnya.

“Saya tidak perlu berdebat dengan mana-mana pihak kerana ideologi kedua-dua lelaki itu tidak mewakili pertubuhan Hindu berdaftar di negara ini.

“Kalau betul dakwaan saya putar belit, dia boleh buat laporan polis dan failkan saman” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memberitahu kes dirujuk ke Wangsa Maju berikutan satu laporan polis telah dibuat terlebih awal di sana. - UTUSAN ONLINE