TEO NIE CHING
TEO NIE CHING

Nie Ching yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

“Saya enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut. Tiada sebarang inisiatif yang diambil buat masa ini dan kami akan berbincang nanti,” katanya kepada Utusan Online di sini hari.

Pada 2 Julai lalu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat penjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kenyataan Adly untuk mengiktiraf UEC itu mendapat bantahan banyak pihak kerana dilihat bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam masa sama, Nie Ching dalam satu petikan portal Malaysiakini berkata, beliau mahu isu terbabit dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini kerana UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Katanya, isu pengiktirafan UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen memandangkan kerajaan sebelum ini juga memberi pengiktirafan kepada sijil A-Level tanpa melalui perbahasan di Dewan Rakyat.

Tindakan Adly dan kenyataan Nie Ching bagaimanapun mendapat bantahan banyak pihak termasuk ahli politik, akademik dan pejuang bahasa yang menyifatkannya sebagai menjejaskan perpaduan dan pembinaan negara bangsa kerana sukatan pembelajarannya diadaptasi dari Taiwan dan China.- UTUSAN ONLINE