Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor turut menjelaskan, individu yang mahu menduduki peperiksaan CLP mesti memenuhi prasyarat yang ditetapkan, termasuk memperolehi kelulusan prauniversiti yang diperlukan dan memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang dari institusi yang diiktiraf.

“Majlis Peguam ingin menekankan, LPQB telah lama mengiktiraf kelayakan UEC dalam pelbagai peringkat, sekurang-kurang sejak dua dekad yang lalu.

“Majlis Peguam juga menekankan bahawa pengiktirafan UEC oleh LPQB adalah untuk tujuan yang spesifik dan sangat berfokus, ia hanya membenarkan pemegang sijil (UEC) yang mempunyai kelayakan untuk menduduki CLP setelah semua prasyarat telah dipenuhi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataannya memaklumkan CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbinca­ngan dengan beberapa pihak.

Kenyataan itu mendapat tentangan pelbagai pihak yang menganggap Tommy telah melangkau kuasa Kabinet dan Pasukan Petugas Khas Dasar UEC (PPDUEC) yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan kajian berkenaan pengiktirafan UEC. - UTUSAN ONLINE