Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, sekiranya peperiksaan dan sekolah persendirian itu dikawal selia, maka memudahkan kementerian mengiktiraf sijil yang dikeluarkan.

Selain itu katanya, silibus dalam komponen Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat UEC ini perlu dinilai semula supaya bersesuaian serta sama dengan pembelajaran dan peperiksaan di sekolah-sekolah kebangsaan.

“Insya-Allah sekiranya kurikulum atau silibus pendidikan di sekolah persendirian itu selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan atau dasar kementerian, tidak ada masalah lagi untuk kerajaan mengiktiraf sijil UEC ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu UEC mendapat perhatian ramai selepas beberapa pihak mendesak Teo Nie Ching supaya memastikan kerajaan segera mengiktiraf sijil berkenaan yang menjadi salah satu perkara dalam manifesto Pakatan Harapan sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan awal bulan ini.

Pengiktirafan sijil itu juga mendapat ‘restu’ Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek yang menegaskan pihaknya tidak akan membuat pusingan-U berkenaan janji tersebut sehingga mendapat kritikan banyak pihak, termasuk tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang menyelar keputusan terburu-buru tersebut.

Tambah Rusdi, isu tersebut juga memerlukan perbincangan melibatkan Kementerian Pendidikan dan Lembaga Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) seterusnya mencari kata sepakat yang memberi manfaat kepada semua pihak.

“Isu ini boleh diselesaikan sekiranya pihak-pihak yang terlibat ini dapat duduk semeja dan berbincang secara akademik dalam menyelesaikan perkara berbangkit dalam soal tersebut.

“Isu UEC ini merupakan isu pendidikan, maka cara penyelesaiannya juga mestilah melalui perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat dalam pendidikan. Jangan pula ada pihak-pihak lain yang cuba mencurahkan ‘minyak’ dalam hal ini, kerana ia bukan melibatkan isu politik atau kaum tetapi lebih kepada isu pendidikan semata-mata.

“Sebaik-baiknya perlu hindari sentimen kaum dan agama dalam penyelesaian isu tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE