Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan berkata, di dalam manisfesto Pakatan Harapan janji untuk mengiktiraf UEC bukan dalam keadaan tergesa-gesa sebaliknya dalam tempoh lima tahun selepas melalui beberapa syarat, proses dan kajian mendalam.

Katanya, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek sebelum ini telah membuat kenyatan yang tepat iaitu kaji selidik yang holistik perlu dijalankan sebelum kerajaan mengiktiraf UEC.

"Saya lihat bantahan terhadap UEC ini adalah lebih bersifat politik dan sengaja mewujudkan api perkauman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Malah, janji untuk mengiktiraf UEC ini juga terkandung di dalam manifesto BN dan seharusnya ia tidak dijadikan isu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis kesyukuran dan ramah mesra PPBM Perlis di sini hari ini.

Isu UEC mendapat perhatian ramai selepas beberapa pihak mendesak Teo Nie Ching supaya memastikan kerajaan segera mengiktiraf sijil berkenaan yang menjadi salah satu perkara dalam manifesto Pakatan Harapan sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan awal bulan ini.

Pengiktirafan sijil itu juga mendapat ‘restu’ Dr. Maszlee yang menegaskan pihaknya tidak akan membuat pusingan-U berkenaan janji tersebut sehingga mendapat kritikan banyak pihak, termasuk tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang menyelar keputusan terburu-buru tersebut.

Tambah Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beliau tidak melihat mana-mana dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan yang membuat kenyataan bahawa UEC perlu segera diiktiraf.

"UEC bukan perkara yang kita tergesa-gesa untuk buat tetapi mereka yang tergesa-gesa timbulkan. Pengiktiran UEC adalah janji kita dalam tempoh lima tahun dan saya percaya dalam tempoh itu akan selesai.

"Saya nasihatkan mereka yang istiqamah dalam isu UEC ini baca manifesto kita yang ada janji 100 hari dan janji lima tahun," katanya. - UTUSAN ONLINE