Sehubungan itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di Parlimen yang menyokong UEC jelas menunjukkan bahawa beliau keliru akan asas pembentukan negara dalam konteks pendidikan.

Katanya, GPMS menolak UEC kerana keangkuhan Dong Zong yang tidak mematuhi Dasar Pendidikan Negara supaya mengubah suai sukatan pelajaran peperiksaan UEC bagi memasukkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang setara dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun sudah diberi peluang oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“GPMS tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan Annuar bahawa negara akan mengalami kerugian kerana 90 peratus lepasan UEC menyambung pengajian di luar negara. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa lepasan UEC langsung tidak berminat untuk menyambung pengajian di dalam negara walaupun pindaan Akta Pendidikan 1996 telah membolehkan mereka menyambung pengajian di universiti swasta dalam negara.

“Justeru, tidak ada keperluan untuk mengorbankan tempat di universiti awam bagi lepasan SPM yang patuh pada Dasar Pendidikan Negara untuk diberikan kepada lepasan UEC. Statistik keputusan SPM baru-baru ini juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian lepasan peperiksaan itu dan seharusnya lebih banyak tempat di universiti awam diperuntukkan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Annuar semalam menerusi kenyataan bertulis di Parlimen menyatakan bahawa isu UEC tidak harus dilihat melalui konteks pemikiran sempit dan prejudis serta menyatakan bahawa peperiksaan itu harus diterima sebagai suatu sistem pendidikan, bukan soal perkauman mahupun politik.

Dalam pada itu, Zambri berkata, Annuar perlu melihat pelaksanaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai satu contoh bagaimana sebuah maktab elit untuk kaum Bumiputera milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang masih mampu melahirkan modal insan yang berkualiti walaupun mengunapakai sukatan pelajaran SPM, tetapi pada masa sama turut mengambil peperiksaan lain seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

“GPMS tidak nampak sebab untuk Dong Zong tidak melaksanakan dasar yang sama iaitu meminta pelajar sekolah menengah persendirian Cina mengambil dwi-peperiksaan, SPM dan UEC sekiranya mereka masih berkeras dengan silibus asal mereka.

“Ini bukanlah soal sama ada kerajaan mengiktiraf peperiksaan tersebut bagi kemasukan ke universiti awam atau tidak tetapi berbalik kepada soal paling penting dalam asas pembentukan negara dan penyatuan rakyat iaitu kepatuhan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE