Perkara itu ditegaskan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang menganggap pendidikan adalah milik semua dan tidak wajar dipolitikkan.

Namun di sebalik penegasan itu, Mohd. Ashraf tetap mempersoalkan kebisuan Pemuda UMNO ketika mula-mula lepasan UEC diterima untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) kira-kira sembilan tahun lalu.

“Saya tetap ingin bertanya, di mana Pemuda Melayu UMNO yang kononnya menjadi benteng kepada orang Melayu dan semangat nasionalisme kebangsaan, saat pemimpin Melayu secara kolektif dalam UMNO bersetuju memulakan pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan?

“Mana Pemuda UMNO ketika itu apabila pemimpin utama UMNO, (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak yang memaksa Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sedikit demi sedikit membuka jalan kepada UEC antaranya (dengan) implementasi UEC ke dalam PISMP?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ashraf walau bagaimanapun menegaskan, pendiriannya menolak UEC tidak pernah berubah dan beliau mengajak semua lapisan masyarakat supaya bersama-sama menolak pengiktirafan sijil tersebut.

“Bukan mudah untuk menghapuskan sesuatu yang telah dimulakan oleh UMNO yang hampir sepuluh tahun terlaksana sudah! Perlu kita sedar hakikat itu bahawa agenda desakan, gesaan dan didikan untuk menolak sistem yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan perlu diteruskan sehingga jaya!

“Jadi ayuh bersama-sama menolak pengiktirafan UEC dan segenap sistem yang hakikatnya luar dari dasar kebangsaan dan sama membangun sebagai anak Malaysia untuk memperkasa pendidikan kebangsaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE