Pada mulanya, orang ramai menyangkakan udang kara sepanjang kira-kira 0.7 meter tersebut hanyalah udang plastik namun jangkaan mereka ternyata me­leset apabila mengetahui ia adalah udang yang diawetkan.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah berupa bekalan ikan selama 100 hari sekiranya dapat meneka de­ngan tepat berat udang tersebut.

Seorang pengunjung, Mohd. Arif Hakimi, 14, berkata, ini adalah pengalaman pertamanya melihat udang kara sebesar itu.

“Saya ingatkan udang kara yang dipamerkan tersebut adalah plastik tetapi saya agak terkejut apabila dimaklumkan ia adalah udang kara sebenar.

“Ini pengalaman yang bagi saya amat berharga kerana memiliki peluang untuk melihat betapa pelbagainya hasil laut dalam negara ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai Nekmat hari ini.

Rakannya, Mohd. Aizul Fahmi, 16, juga menyatakan perasaan terujanya apabila dapat melihat dengan lebih dekat udang kara bersaiz besar yang agak sukar untuk ditemui.

“Memang saya tahu udang kara besar tetapi tidak sangka ia boleh jadi sebesar ini,” katanya.