Perkara itu dibuktikan dengan pembinaan hampir 1,200 unit rumah yang diberikan secara percuma kepada penduduk Tanjung Tokong, George Town dekat sini menerusi projek Warisan Tanjung iaitu rumah gantian kepada mereka yang terlibat dengan projek pembangunan di atas tanah milik UDA.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah berkata, projek lain yang diambil alih selepas terbengkalai adalah pembinaan 80 unit pangsapuri kos rendah Legasi Bertam di sini serta projek Mengkuang Heights di Permatang Pauh.

“Biarpun kita membangunkan projek-projek perumahan untuk keuntungan namun kita tidak lupa menjalankan CSR kepada rakyat serta menanggung kerugian apabila mengambil alih projek terbengkalai.

“Di bawah anak syarikat kami, UDA Land (North) Sdn. Bhd., kami membantu penduduk Tanjung Tokong dan Bertam serta 47 pembeli asal projek Mengkuang Heights,” katanya kepada pembe­rita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi UDA Ride 2018 dari Kuala Lumpur ke negeri ini yang disertai 217 peserta bersama 180 buah motosikal.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar dan Ketua Pegawai Ope­rasi UDA Land North, Zainudin Deni.

Selain berkonvoi, peserta juga mengikuti program CSR dengan mengadakan gotong-royong di Madrasah Tahfizul Quran Penanti dekat Mengkuang Titi di Permatang Pauh.

Mohd. Shafie menambah, UDA Land (North) juga komited mem­bangunkan projek perumahan mereka antaranya Elevate Gravitas dan Evoke di Jalan Bahru, Perai; Crescent Dew di Bertam dan Scarlet di Taman Pauh Jaya.

Selain itu, ujar beliau, pihak­nya juga membangunkan beberapa projek secara usaha sama de­ngan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di atas tanah wakaf iaitu Legacy Residence Wakaf Mohamed Hashim, Wakaf Sheikh Eusoff dan Wakaf Setee Aisah 2.

“Kita juga mengadakan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Kedah untuk projek Wakaf Telok Chengal, bersama Majlis Agama Islam Negeri Perak untuk projek Ipoh Waqf Centre dan projek K-Parc bersama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua projek itu memiliki pembangunan kasar sebanyak RM2.6 bilion dan dijual pada harga serendah RM42,000.