Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerjasama berkenaan merupakan usaha institusi pengajian tinggi (IPT) itu mengembangkan lagi pembangunan latihan halal termasuk di peringkat antarabangsa.

“Menerusi usaha ini, UCAM melalui pusat halalnya berperanan menjalankan kajian dan pembangunan industri halal di Korea Selatan serta melatih tenaga kerja di negara itu sejajar keperluan semasa.

“Memandangkan kita menerima pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai peneraju la­tihan halal, Kohas memilih UCAM untuk membangunkan profesionalisme halal di negara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Utama (MoU) di antara UCAM dan Kohas di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi UCAM, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

MoU tersebut dimeterai antara Naib Canselor UCAM, Prof. Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid manakala Kohas diwakili Penasihat Kanannya, Jo Young Chan.

Pada masa sama, Zahidi me­mak­lumkan, pihaknya bakal mengikat perjanjian kerjasama dengan badan pensijilan halal di Filipina dan Taiwan dalam menjadi peneraju industri halal di kedua-dua negara tersebut.

Menurut beliau, Pusat Halal UCAM telah dilantik oleh Jakim sebagai badan penyedia latihan yang bertauliah bagi melaksanakan program bimbingan per­sijilan halal.

“Kita telah terlibat dalam pelbagai ker­jasama sama ada di peringkat tem­patan dan antarabangsa untuk memberikan kursus halal kepada per­seora­ngan atau syarikat.

“UCAM turut berbangga kerana terpilih sebagai rakan strategik Institut Akademi Halal Malaysia (MIHA)-Jakim untuk menembusi pembangunan in­dustri global yang dilihat ke arah mendukung hasrat Malaysia sebagai pene­raju hab halal dunia,” katanya.

Sementara itu, Young Chan me­maklumkan, industri halal di Korea Selatan kini berkembang pesat sejajar peningkatan kehadiran pelancong Islam dari seluruh dunia.

Justeru katanya, pembangunan dan penyelidikan halal perlu diperkasakan bagi menghadapi kehadiran jutaan pelancong Muslim setiap tahun.

“Kita mengakui berhadapan ke­sulitan untuk memenuhi keperluan ma­­kanan halal tetapi melalui ker­jasama ini diharapkan dapat me­lahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam industri tersebut,” katanya.