Menurut Perdana Menteri, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat transformasi dalam industri makanan menuju ke arah lebih moden dan dinamik.

Sehubungan itu, beliau berkata, peladang, penternak dan nelayan mesti membawa perubahan kerangka minda untuk melihat bagaimana negara seperti Belanda yang mempunyai saiz lebih kecil dari Sarawak mampu menjuarai eksport pertanian.

"Negara-negara lain seperti Jepun, Taiwan, New Zealand dan Australia, golongan petani serta penternak mereka mendapat pendapatan lebih tinggi kerana mengamalkan teknologi dan menggunakan kaedah invosi yang membawa kepada produktiviti yang lebih tinggi.

"Hasil daripada kejayaan ini, saya berharap ilmu dan teknologi dapat digunakan dengan betul oleh semua peladang, petani, penternak serta nelayan bagi membolehkan mereka meningkatkan hasil pengeluaran," kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak, Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015 (HPPNK) di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan beberapa menteri kabinet.

Menurut Najib, kerajaan memperuntukan RM5.3 bilion dalam Bajet 2016 kepada sektor pertanian kerana ingin melihat bidang tersebut lebih maju ke hadapan di samping menggerakkan inisiatif menurunkan harga barangan dengan rancangan untuk menambah 50 lagi pasar tani di seluruh negara serta 150 Agro Bazar Rakyat 1Malaysia tahun depan.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, soal jaminan makanan merupakan salah satu daripada cabaran besar yang perlu ditangani oleh negara ini, selain daripada ancaman keganasan, fahaman ekstremis dan perubahan iklim.

"Hal ini kerana mengikut laporan FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menjelang 2030, jumlah penduduk dunia dianggarkan mencapai 9.6 bilion berbanding 7.2 bilion ketika ini.

"Jika tahap pengeluaran makanan tidak ditingkatkan kepada 60 peratus daripada jumlah yang dihasilkan sekarang, dunia akan mengalami kebuluran yang serius. Mengikut laporan sama, kira-kira 800 juta manusia di dunia tidur pada waktu malam dalam keadaan kelaparan," ujarnya.

Ketika ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengalami defisit kira-kira RM17 bilion setahun iaitu bermakna dari segi agro makanan, negara ini mengimport hasil agro makanan lebih daripada eksport berjumlah RM17 bilion.

Selain itu, Najib turut bersetuju dengan slogan atau pengiktirafan yang diberikan oleh Menteri Pertanian bahawa para petani, penternak, peladang dan nelayan adalah wira negara.

Mengenai pembangunan pertanian di Sarawak, Najib berkata, beliau mahu tanaman beras istimewa seperti padi Bario dan Biris serta padi huma atau bukit diperluaskan bagi menampung permintaan tinggi terhadap keperluan makanan itu.

Beliau turut berharap penyelidikan terhadap bidang pertanian dan penternakan ditambah di negeri ini seperti kajian dan penyelidikan terhadap ternakan ikan empurau serta tanaman di kawasan tanah tinggi bagi mewujudkan Cameron Highlands atau Kundasang kedua di negara ini.