Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, tindakan drastik itu perlu dilakukan berikutan kerajaan Myanmar seolah-olah tidak mengendahkan desakan yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung penindasan etnik Rohingya di negara tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan desakan oleh pelbagai pihak ber­kenaan.

“Kita minta tutup sajalah (ke­dutaan) kerana tidak ada guna mereka ada di sini. Apa yang kita buat seperti anjing menyalak bu­kit, jadi kita tidak mahu begitu.

“Kita tidak ada pilihan. Berperang di negara Myanmar adalah sesuatu yang mustahil tetapi kami rakyat Malaysia yang cintakan keamanan tidak tergamak melihat saudara seagama di­bunuh secara kejam dan dizalimi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan di depan Kedutaan Myanmar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; penasihat undang-undang yang juga peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin serta kira-kira 100 orang terdiri daripada etnik Rohingya.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar memberitahu, perhimpunan hari ini merupakan gerakan kedua dilakukan bagi menghantar memorandum kepada Kedutaan Myanmar, namun sehingga kini masih tiada langkah penyelesaian serta penamatan kezaliman dilakukan.