Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap negara mempunyai syarikat penerbangan masing-masing dan Malaysia Airlines adalah aset kebanggaan Malaysia.

Jelasnya, tiada keperluan untuk menutup syarikat tersebut lebih-lebih lagi telah ada pelan pemulihan yang diperkenalkan sebelum ini.

"Sewaktu saya menjadi Pengerusi Khazanah (pemilik Malaysia Airline), pelan pemulihan sedang berjalan. Ia memerlukan sedikit masa untuk pulih dan oleh itu tiada keperluan menutup atau menjualnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan terbuka terhadap sebarang kemungkinan untuk menangani masalah hutang yang ditanggung Malaysia Airlines, termasuk mahu menutup syarikat itu.

Kerajaan menerusi Khazanah pada tahun 2014 telah melancarkan pelan pemulihan syarikat tersebut setelah begitu lama mencatatkan prestasi kewangan tidak memuaskan.

Luka syarikat tersebut diburukkan lagi dengan tragedi kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014 dan nahas MH17 pada Julai tahun yang sama. - UTUSAN ONLINE