Tutor yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pelajar dibekalkan melalui penajaan Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup bernilai RM48,960 sebagai salah satu usaha meningkatkan tahap pencapaian pelajar di luar bandar.

Joseph berkata, penajaan ter­sebut yang merupakan tahun keempat berturut-turut adalah pelaburan masa depan dalam usa­ha melahirkan generasi baharu yang berpendidikan dan se­iring dengan perkembangan pesat dunia teknologi.

“Saya sendiri sangat memen­tingkan pencapaian pendidikan anak-anak bangsa kita kerana mereka yang berada di depan kita inilah yang bakal menjadi pewaris bangsa dalam menerajui negara pada masa akan datang.

“Kita memerlukan generasi yang berpendidikan selaras de­ngan kemajuan teknologi yang semakin pesat membangun. Saya tidak mahu anak-anak kita khususnya di kawasan pedalaman ketinggalan dalam aspek pendidikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Tutor Parlimen Pensiangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan II di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Joseph turut memuji langkah Utusan Malaysia menghasilkan satu lagi akhbar pendidikan iaitu Utusan Pelajar yang menggunakan mo­del pelajaran bersesuaian serta memenuhi kriteria pembelajaran abad ke-21.

Sehubungan itu katanya, selain set soalan Tutor, akhbar Utusan Pelajar juga yang akan diedarkan tahun ini perlu dimanfaatkan oleh setiap murid dan guru agar dapat bersama-sama meningkatkan pencapaian sekolah.

“Utusan Pelajar merangkumi 10 segmen pengajaran dalam pembelajaran yang boleh dirujuk oleh pelajar dan guru untuk aktiviti pembelajaran baik secara berkumpulan mahupun individu di dalam kelas.

“Petikan berita, rencana, iklan dan komentar daripada akhbar Utusan Malaysia digunakan sebagai bahan rujuk pembelajaran berdasarkan keperluan yang terdapat pada Dokumen Stan­dard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP),” katanya.