Datuk Shiekh Ahmad Dasuki Shiekh Mohamad
Datuk Shiekh Ahmad Dasuki Shiekh Mohamad

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) , Datuk Shiekh Ahmad Dasuki Shiekh Mohamad berkata, GST merupakan antara sistem percukaian terbaik berbanding perlaksaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada bulan depan.

“Kami faham sebagai orang politik, Pakatan Harapan (PH) perlu memenuhi janji yang dijanjikan semasa kempen pilihanraya.

“Akan tetapi PH perlu meletakkan kepentingan negara dahului segala-galanya berbanding parti,” katanya di sini hari ini.

Shiekh Ahmad Dasuki memberitahu, persepsi terhadap GST yang menjadi

punca kenaikan harga barangan di pasaran adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, GST sebenarnya tidak memberi kesan yang signifikan kepada kos sara hidup memandangkan peningkatan harga bukan disebabkan oleh sistem percukaian itu semata-mata.

“Secara prinsipnya, kos GST yang dibayar oleh perniagaan lebih rendah berbanding SST.

Hal ini kerana cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah yang dijana pada setiap rantaian bekalan.

“Apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk menurun tetapi ini tidak berlaku selepas tiga tahun pelaksanaan GST,” ujarnya.

Sheikh Ahmad Dasuki berkata, POKB melihat tiga perkara utama yang menyebabkan harga barang tidak turun selepas GST antaranya kadar kepatuhan perniagaan kepada sistem berkenaan masih rendah.

Katanya, tidak sampai 50 peratus daripada firma mendaftar sedangkan andaian yang digunakan apabila GST dilaksanakan ialah kepatuhan 100 peratus.

“Selain itu, penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berwajib menyebabkan berlakunya manipulasi harga di pasaran dan faktor ketiga melibatkan kadar pemahaman yang masih rendah oleh perniagaan, pengguna dan pihak berwajib terhadap sistem percukaian kepenggunaan berkenaan.

“Dan sifat pasaran yang bersifat monopoli juga menekan perniagaan kecil dan sederhana untuk bersaing dengan lebih kompetitif,” katanya. - UTUSAN ONLINE