Beliau berkata, dakwaan-dakwaan tersebut hanya bertujuan melemahkan kerajaan pimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dipilih secara demokratik serta usaha kerajaan memperkenal sistem pemilihan Presiden menjelang 2019 nanti.

‘‘Semua persepsi negatif serta buruk terhadap Turki hanyalah kempen memburuk-burukkan negara ini. Kami terbuka kepada sebarang siasatan oleh mana-mana institusi dan agensi antarabangsa,’’ katanya di sini kelmarin.

Menurut Bozdag, kegagalan cubaan rampas kuasa oleh Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto), yang dipimpin oleh Fethullah Gulen, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, adalah testimoni kepada kesungguhan Erdogan mempertahan hak kebebasan dan sistem demokrasi negara ini.

‘‘Presiden Erdogan terbang dari Marmaris (ke Istanbul) untuk bersama-sama rakyat dengan meletakkan nyawa beliau dalam bahaya. Kini ada usaha memburuk-burukkan presiden dengan memanggil dia sebagai ‘diktator dan autoritarian’ sama ada baik di dalam negara atau luar negara.

Sementara itu, Menteri Dasar Keluarga dan Sosial Turki, Fatma Betul Sayan Kaya membidas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) serta media asing kerana bersikap pilih kasih serta mengamalkan standard berbeza dalam menegakkan prinsip kebebasan dan sistem demokrasi.

Menurutnya, ketika Turki berhadapan dengan cubaan rampas kuasa pada 15 Julai tahun lalu oleh kumpulan yang disifatkan sebagai pertubuhan pengganas dan disokong oleh puak tentera yang memberontak, Barat termasuk media mereka hanya bersikap “tunggu dan lihat”.

“AS dan EU gagal memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada yang telah dipilih secara sah dan demokratik oleh rakyat Turki.

“Media-media mereka pula melaporkan cubaan rampas kuasa tersebut sebagai kebangkitan pembangkang terhadap kuasa diktator dan autoritarian parti pemerintah sedangkan rampasan kuasa secara bersenjata itu dibantah oleh semua lapisan rakyat Turki dan semua parti politik negara ini,” tegas beliau di sini.

Sayan Kaya berkata demikian kepada 350 wartawan dari 52 negara termasuk Malaysia selepas melawat pameran foto sempena ulang tahun pertama cubaan rampas kuasa yang mengorbankan 249 orang dan mencederakan lebih 2,000 orang lain.

Bagaimanapun, cubaan rampas kuasa itu berjaya dipatahkan apabila rakyat Turki termasuk wanita serta remaja turun beramai-ramai tanpa mengira parti dan fahaman mempertahan kerajaan pimpinan Erdogan.

Bagi menteri wanita berhijab ini, rakyat Turki membuktikan mereka faham serta tahu memperjuang hak kebebasan memilih sebuah kerajaan secara demokrasi, manakala media Turki pula menolak sebarang usaha menyekat serta meghalang mereka daripada melaporkan perkara sebenar pada malam itu.

“Kematian wartawan tempatan, Mustafa Cambar menjadi ikon kepada perjuangan ‘syahid’ rakyat Turki menegakkan nilai kebebasan dan sistem demokrasi di negara ini,” jelas Sayan Kaya. - Utusan Malaysia