Ahmad berkata, dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri memaklumkan Kabinet telah meluluskan pembayaran royalti secara tunai kepada kerajaan negeri ini.

Beliau berkata, proses pembayaran tersebut kini berada di Kementerian Kewangan untuk mengambil langkah seterusnya termasuk menetapkan jumlah yang perlu disalurkan kepada negeri ini.

"Setakat ini (menunggu) kata putus daripada Menteri Kewangan yang sudah diberitahu supaya royalti perlu diberi secara tunai tetapi angka kita tidak tahu.

"Tiada jumlah anggaran (royalti) dimaklumkan. Kita sudah beri fakta-fakta daripada pelbagai sumber tentang jumlah royalti dan terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dan Pusat Pengajian Pondok Kandis dengan Universiti Ez-Zitouna, Tunisia, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Rektor universiti tersebut, Dr. Hisyam Qarisah.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Pusat dikatakan membayar royalti minyak kepada negeri ini sebelum penghujung tahun lalu namun perkara itu tidak berlaku. - UTUSAN ONLINE