Pemasyhuran dibuat mengikut Perkara 17 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah setelah kemangkatan kakanda baginda, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit semalam.

Pengumuman pemasyhuran itu dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sejurus sebelum jenazah Almarhum dibawa keluar untuk istiadat pemakaman.

Pemilihan raja pemerintah baharu ditentukan menerusi Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang bermesyuarat semalam setelah kemangkatan Sultan Kedah.

Sebaik sahaja pemasyhuran dilakukan, Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengi­ringi baginda ke singgahsana yang terletak di Balai Penghadapan.

Syed Unan kemudiannya melaungkan Daulat Tuanku! sebanyak tiga kali yang disambut oleh hadirin dan serentak itu paluan nobat dan tiupan nafiri dikumandangkan.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Tunku Sallehuddin seterusnya menyentuh peterana Almarhum Tuanku Abdul Halim, menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Salehuddin.

Tunku Sallehuddin, 75, menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

Jawatan Raja Muda Kedah dipegang oleh Tunku Sallehuddin yang dimasyhurkan pada 15 Disem­ber 2016.