Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah berkenan pada 9 September, melantik Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai Canselor UUM, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

“Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan melantik Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai Canselor UUM sehingga tempoh baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong tamat.

“Pada majlis konvokesyen kali ini akan tercatat sejarah apabila UUM memulakan istiadat majlis konvokesyen dengan pemasyuran Tunku Puteri Intan Safinaz sebagai Canselor UUM,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohamed Mustafa, Majlis Konvokesyen UUM Ke-27 itu akan berlangsung selama lima hari berturut-turut mulai 8 hingga 12 November ini di Dewan Mu'adzam Shah, UUM Sintok.

“Pada majlis kali ini, seramai 6,608 graduan akan menerima ijazah masing-masing dan mereka terdiri daripada 139 graduan ijazah doktor falsafah, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah Pengurusan.

“Seramai 1,090 pula graduan ijazah sarjana, 5,378 (ijazah sarjana muda) dan seorang (diploma lepasan ijazah).

“Selain itu, 482 graduan pula terdiri daripada pelajar antarabangsa dari 26 negara yang menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda dalam majlis konvokesyen kali ini,” jelasnya.

Mohamed Mustafa memberitahu, antara perkara istimewa dalam majlis konvokesyen kali ini ialah penganugerahan ijazah kehormat doktor falsafah kepada dua tokoh yang telah secara sebulat suara dipilih oleh Senat UUM.

“Mereka ialah bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan).

“Seorang lagi ialah komposer, penyanyi dan pemuzik yang berpengalaman, Datuk Mohamad Nasir Mohamad atau lebih dikenali sebagai M. Nasir yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif),” jelasnya.